Wednesday, August 26, 2009

SALAM 1 MALAYSIA…..

Posted by PEMBIMBING RAKAN SISWA PMU On Wednesday, August 26, 2009 1 comments

Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku.


Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.

Kesimpulannya, erti kemerdekaan sebenar seharusnya dihayati dan direnungi bersama oleh belia Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama. Seharusnya mereka perlu sentiasa berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan seterusnya tanah air tercinta ini bagi memastikan kecemerlangan dan kegemilangan Negara akan berkekalan.


1 comments:

caya la....go PRSP 1 malaysia

Post a Comment